Friday, 4 December 2015

RENCANA-MELAKA

            Negeri Melaka juga dikenali sebagai Melaka Negeri Bersejarah, Melaka Darul Azim atau Negeri Hang Tuah.  Pada tahun 2008, Melaka diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Bandar Warisan Dunia (World Heritage).  Negeri Melaka juga diisytiharkan sebagai “Melaka Maju” dan dinyatakan sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau.  Bandar-bandar utama di negeri Melaka ialah Bandaraya Melaka, Alor Gajah, Masjid Tanah, Jasin, Merlimau, Tampin/Pulau Sebang, Ayer Keroh dan Asahan.  Sejarah Melaka bermula dengan pengasasan Kesultanan Melaka oleh Parameswara, seorang bangsawan Srivijaya dari Palembang, pada tahun antara 1400 hingga 1403.   Kini Melaka merupakan sebuah tempat bersejarah yang mempunyai banyak tempat menarik dan menjadi tempat pelancongan di Malaysia.

            Kebudayaan Melaka bermula lebih daripada enam kurun dimana pelbagai adat etnik dan tradisi diadun sempurna.  Kehidupan aman rakyat Melaka berpunca daripada kehidupan pelbagai kaum yang telah melahirkan orang-orang Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya, Portugis, Chetty, Bawean dan Serani.  Setiap kumpulan etnik ini memberi citarasa yang berbeza rakyat Melaka yang terkenal sebagai rakyat yang peramah.  Antara kebudayaan Melaka yang unik adalah Dondang Sayang, Tarian Portugis, Nazam, Silat Melaka dan Congkak.  Sehingga hari kini, kebanyakan adat-adat kuno yang berasal daripada pendudukan Portugis masih diamalkan, termasuknya "Intrudu" (sejenis perayaan air yang menandakan permulaan musim Lent, iaith musim puasa bagi orang Katolik), "branyu" (sejenis tarian tradisional) dan "santa cruz" (sejenis perayaan jalan tahunan).

            Melaka terkenal dengan masakan tradisional seperti makanan Melayu, Hidangan Cina, India, Baba dan Nyonya serta Portugis yang menjadi kebanggaan negeri ini.  Masakan Nyonya yang terkenal ialah otak-otak, sup itik, laksa lemak, jantung pisang, mi siam dan nasi kunyit.  Masakan Portugis yang popular ialah Devil's Curry, Garing-garing dan Ikan Bakar Portugis.  Seterusnya, masakan Melayu terkenal dengan nasi lemak iaitu sajian untuk sarapan pagi.  Masakan Melayu lain yang popular adalah seperti asam pedas, rendang, nasi padang dan nasi goreng.

            Selain itu, masakan Cina yang digemari ialah Char Kway Teow, Mi Wantan, Mi Udang dan Dim Sum.  Manakala, masakan India mempunyai pelbagai jenis roti yang diperbuat daripada tepung gandum seperti thosai, chapati, naan, roti cana dan idli.  Masyarakat India-Muslim terkenal dengan Nasi Briyani dan Mee Goreng.  Hidangan lain termasuk kurma, ayam tandoori dan kari kepala ikan.  Tambahan pula, makanan popular yang lain di Melaka adalah seperti Cencaluk, Belacan, Dodol dan Tapai.

            Di antara tempat-tempat yang menarik pelancong di Melaka adalah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Melaka Zoo & Night Safari, Kota A Farmosa, Taman Buaya Melaka, Villa Sentosa, Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Taman Mini Asean & Taman Mini Malaysia, Taman Rama-rama & Reptilia, Taman Botanikal Melaka, Tasik Ayer Keroh dan lain- lain.  Manakala, tempat membeli-belah di Melaka adalah Persiaran Jonker, Mydin & Giant Hypermarket, Jusco & Tesco, Mahkota Parade dan Melaka Sentral.

            Penginapan di Melaka dibahagi kepada Hotel bertaraf satu bintang hingga lima bintang, Resort, Chalet dan Homestay.  Antara tempat penginapan yang popular di Melaka adalah Case del Rio Melaka, The Majestic Malacca, The Settlement Hotel, Hatten Hotel Melaka, Bayou Lagoon Park Resort, Jonker Boutique Hotel, Philea Resort & Spa, Teerra Nova All-Suite Hotel, Marvelux Hotel, A’ Famosa Resort dan sebagainya.   

            Melaka merupakan tempat bersejarah dimananya telah dijajah oleh banyak negara asing seperti Portugis, Belanda, British.  Ia juga merupakan tempat pelancongan yang terkenal dan menarik di Malaysia kerana kebudayaan masyarakat yang unik dan pelbagai serta warisan tradisi yang masih dikekalkan dari dulu hingga kini.  Tempat ini seharusnya dihargai dan dihayati oleh kita sambil mewarisi adat istiadatnya secara turun-temurun.





No comments:

Post a Comment