PUNCA DAN LANGKAH MEGATASI BENCANA ALAM
RANGKA KARANGAN
Pengenalan:
Dewasa ini, manusia dilihat kurang peka
dengan masalah alam sehingga mengakibatkan bencana alam. Kebanyakan bencana
alam yang berlaku berpunca daripada sikap manusia itu sendiri. Antara bencana
alam yang mampu memberi impak yang besar iaitu seperti ribut taufan, tsunami,
tanah runtuh, jerebu dan sebagainya. Oleh itu, semua pihak tidak seharusnya
memandang remeh tentang masalah bencana alam ini. Persoalannya, apakah
punca-punca dan langkah-langkah yang wajar diambil?
Punca:
1) Kegagalan manusia membuat
perancangan
- penyelenggaraan sungai dan pembalakan
yang tidak praktikal
- kelambatan manusia untuk memberi
pengumuman kepada masyarakat mengenai bencana alam
2) Ketamakan manusia
- sifat manusia yang terlampau
materialistik
Langkah:
1) Peranan kerajaan
- menubuhkan sistem amaran awal
bencana alam
2) Kesedaran masyarakat
3) Peranan Badan-badan Bukan
Kerajaan
- kerjasama dengan kerajaan
- melatih masyarakat untuk
menghadapi bencana alam
Kesimpulan:
Semua pihak haruslah berganding bahu
ibarat peribahasa melayu “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana
muafakat” untuk bersama-sama mengatasi masalah bencana alam demi kebaikan
bersama.
PUNCA DAN LANGKAH MEGATASI BENCANA ALAM
Bencana
alam merujuk kepada kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan
penduduknya. Ia tidak dapat dielakkan
oleh manusia kerana kejadian itu berlaku di luar kawalan manusia. Bencana alam boleh berlaku tanpa mengira masa
dan tempat. Di Malaysia, bencana alam
jarang berlaku berbanding dengan negara yang sering berlaku bencana alam. Bencana alam yang sering berlaku di negara
kita adalah banjir, gempa bumi dan tanah runtuh. Dalam sejarah Malaysia, terdapat beberapa
peristiwa bencana alam yang mendapat liputan meluas seperti Tragedi Highland
Tower pada tahun 1993, Tragedi Ribut Greg di Sabah pada tahun 1996, kejadian
tanah runtuh di Gombak pada tahun 2004 dan lain-lain. Pelbagai faktor yang mendorong bencana alam
berlaku terutama ketiak bumi yang dikatakan sedang mengalami perubahan cuaca
yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, terdapat banyak faktor yang
mendorong kejadian ini dan banyak langkah yang boleh diambil untuk
membendungnya daripada terus berlaku.
Antara
faktor berlakunya bencana alam adalah kegagalan manusia dalam membuat
perancangan yang sempurna. Sikap manusia
dalam menguruskan sumber alam secara rakus tanpa kawalan, penyelenggaraan
sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal telah mengundang padah. Manusia gagal membuat perancangan seperti
memberitahu masyarakat lebih awal, membuat latihan untuk menghadapi bencana
mahupun tidak mempunyai piawaian pembinaan bangunan yang baik. Aktiviti penyahutanan dan pembalakan secara
tidak terancang akan menyebabkan lebihan karbon dioksida dalam udara di samping
kehilangan kawasan tadahan air dan senang berlakunya banjir. Selain itu, aktiviti pembakaran terbuka di
kawasan pelupusan sampah dan pembakaran hutan juga menyumbang kepada
peningkatan karbon dioksida. Penambahan kelodak akan
mencetekkan dasar sungai dan aliran akan tersekat serta menyebabkan kejadian
banjir kilat terutama di kawasan rendah.
Seterusnya,
sifat ketamakan manusia juga menyumbang kepada berlakunya bencana alam. Pihak yang terbabit dalam penebangan hutan
selalunya hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan impaknya
terhadap persekitaran ekologi. Kawasan hutan yang telah
ditebang tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, menyebabkan terdedah
kepada hujan lalu hakisan tanah berlaku.
Keadaan ini menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang meragut
nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda.
Selain itu, tempat yang dahulunya tidak sesuai untuk dibangunkan,
umpamanya di kawasan lereng bukit dan dataran banjir, kini dibangunkan untuk
kawasan perumahan. Perbandaran pula
menyebabkan kawasan baru dibangunkan.
Perbukitan dipotong dan diratakan serta membentuk cerun buatan yang
curam dan kurang stabil. Kawasan bekas
lombong, pesisiran sungai dan lautan ditambak untuk penempatan baru. Semua kawasan ini terdedah dengan risiko
banjir dan tsunami.
Dalam
pada itu, langkah yang drastik dan pragmatik perlulah diambil untuk
mengurangkan risiko kejadian bencana alam.
Rentetan itu, peranan kerajaan adalah sangat penting dalam menangani isu
tersebut. Pihak kerajaan perlulah
menubuhkan sistem amaran awal yang berkesan dan berteknologi tinggi supaya
mereka dapat meramalkan jenis bencana alam, kawasan-kawasan yang berisiko
tinggi untuk ditimpa bencana alam serta waktu bencana alam untuk berlaku. Dengan ini, pihak kerajaan dapat membuat
persiapan awal dalam menghadapi bencana alam seperti menyediakan tempat tinggal
sementara bagi rakyat, bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”. Di samping itu, pihak kerajaan hendaklah
menghebah-hebahkan maklumat mengenai bencana alam yang akan ditimpa kepada
masyarakat melalui media massa sama ada elektronik atau bercetak. Misalnya, wadah media massa yang popular dalam
kalangan rakyat seperti televisyen dan radio dapat menyampaikan mesej dengan
segera tentang bencana alam yang akan melanda negara kita dalam sekelip mata. Hal ini demikian kerana, masyarakat akan lebih
berwaspada dan bersedia untuk menghadapi bencana alam serta-merta.
Selain
itu, kesedaran masyarakat juga perlu dikuatkan supaya mereka tidak mengalami
kelam-kabut semasa kejadian bencana. Program-program
kesedaran dan taklimat harus diadakan dalam meningkatkan ketahanan sekolah dan
hospital dalam menangani bencana. Para
pelajar harus didedahkan cara-cara menghadapi bencana alam sejak di bangku
sekolah lagi kerana “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Pendidikan awam perlu dilakukan secara
berterusan, pengetahuan mengenai bencana perlu diterapkan dalam sistem
pendidikan formal di sekolah dan universiti, dan pendidikan tidak formal
melalui pelbagai cara, terutama bagi kawasan yang dikenal pasti berisiko bencana.
Salah satu cara paling berkesan ialah
menyediakan pusat maklumat, galeri atau muzium khas di kawasan yang pernah
mengalami bencana besar, dan ini akan terus mengingatkan komuniti serta
pengunjung di kawasan terbabit bahawa bencana pernah berlaku, dan boleh berlaku
lagi pada masa depan.
Di
samping itu, peranan badan-badan bukan kerajaan juga tidak dapat
diabaikan. Agensi-agensi swasta haruslah
aktif menawarkan program pencegahan dan panduan bagi menghadapi bencana alam
yang tidak sahaja berkisar tentang banjir malah tanah runtuh, gempa bumi,
kebakaran dan alam sekitar kepada komuniti.
Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan ini haruslah menjadi penggerak
pihak kerajaan dalam menerapkan kesedaran menangani kejadian bencana dan bersama-sama
membendung kegiatan manusia yang membawa kesan teruk terhadap alam sekitar.
Kesimpulannya,
bencana alam memberi satu mimpi dan pengalaman yang buruk sama ada kepada
rakyat mahupun kepada institusi negara itu sendiri sehingga pihak kerajaan
terpaksa mengisytiharkan darurat ke atas negara. Bencana alam kadangkala datang tanpa diundang
dan untuk itu kita perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk perubahan
yang boleh membawa kepada kemusnahan petempatan, kehilangan nyawa dan
sebagainya. Walau bagaimanapun, kejadian
bencana alam juga sebenarnya turut berpunca daripada kegiatan manusia itu
sendiri. Oleh itu, kita sendiri sebagai
manusia perlulah mengubah sikap yang boleh menyebabkan berlakunya bencana alam.
Segala bentuk langkah berjaga-jaga
perlulah diambil dan dilaksanakan dengan lebih awal sebelum kedatangan bencana
agar kita dapat mengelakkan kesan yang lebih buruk lagi.
aaaaaaaaaaaaaa awat panjang sangat
ReplyDeleteName pun karangan
Delete