MASALAH SOSIAL-JENAYAH RAGUT
RANGKA KARANGAN
Pengenalan:
Menurut kamus dewan, jenayah ialah perbuatan
kejahatan seperti mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain atau perbuatan yang
salah di sisi undang-undang. Ragut pula
bererti menarik, menyentak, mencabut dengan paksa atau dengan kekuatan. Dapatlah disimpulkan di sini bahawa jenayah
ragut merupakan perbuatan menarik, menyentak atau mencabut yang mana berkait
rapat dengan tas tangan. Jenayah ragut
ini sering kali dikaitkan dengan golongan remaja dan juga penagih dadah. Jenayah ini semakin berleluasa dan paling
menakutkan jenayah ini telah meragut puluhan nyawa.
Punca:
1) Pengaruh
media massa
2) Kemerosotan
ekonomi
Kesan:
1) Keselamatam
masyarakat terancam
2) Imej
dan ekonomi negara terjejas
Langkah:
1) Penguatkuasaan
undang-undang
2) Peranan
ibu bapa
Kesimpulan:
Jenayah ragut dalam kalangan remaja perlu
diatasi dengan segera agar kemajuan negara dapat dicapai. Pelbagai dasar dan model ekonomi yang
diperkenalkan oleh pihak kerajaan untuk membangunkan negara. Bukan itu sahaja, pembentukan modal insan
kelas pertama juga telah ditekankan agar bukan sahaja kemajuan negara sahaja
yang diperoleh bahkan kemajuan modal insan juga dapat dikecapi. Kita tidak mahu akibat jenayah ragut ini, pembangunan negara dan pembangunan modal
insan terbantut. Hal ini demikian kerana
remajalah yang akan memimpin dan membentuk negara pada masa akan datang.
JENAYAH RAGUT
Hari
ini, masyarakat kita telah dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah seperti
ragut. Ragut merujuk kepada tindakan
jenayah seseorang merampas harta benda orang lain dengan cara paksa atau
kekuatan yang dimiliki. Tindakan ini
menyebabkan mangsa ragut kehilangan sesuatu secara paksa. Kejadian ini amat membimbangkan kerana ia
bukan sahaja menyebabkan kerugian malah boleh mendatangkan kesan kecederaan
mahupun maut kepada mangsa. Menurut
kajian, ramai pelancong asing yang menjadi mangsa kepada jenayah ragut ini. Malahan, terdapat sebuah kes dimana ibu
sedang mengandung terbunuh dalam kejadian ragut, ada yang cedera parah semasa
kes ragut, ada juga mangsa yang dicalar kerana ditoreh dengan pisau yang tajam
ketika melawan peragut dan sebagainya. Kebanyakan
kes jenayah ini berlaku terhadap golongan wanita yang dilakukan oleh peragut
lelaki. Antara barang-barang yang sering
menjadi pilihan peragut adalah beg tangan, barang kemas dan telefon bimbit.
Jika
mengkaji punca jenayah dengan lebih teliti, didapati terdapat banyak punca yang
mengakibatkan berlakunya kes-kes jenayah ragut.
Memang tidak dinafikan, media massa merupakan salah satu punca kegiatan
jenayah ragut. Kemudahan seperti
internet, e-mail, televisyen dan radio boleh disalahgunakan oleh masyarakat
untuk mendapatkan video tentang cara-cara meragut dan sebagainya. Media
massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dalam mempengaruhi pemikiran
dan tindakan remaja. Paparan aksi-aksi
negatif dari filem-filem yang mempunyai unsur-unsur ke arah melakukan kegiatan
ragut akan mempengaruhi remaja melakukan kegiatan ragut. Menurut kajian, golongan remaja adalah mudah
meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuklah media massa.
Selain
itu, keadaan ekonomi yang semakin merosot juga menyumbang kepada kejadian
jenayah kes ragut. Kegawatan ekonomi
menyebabkan ramai orang kehilangan peluang pekerjaan dan seterusnya menyebabkan
kadar pengangguran semakin meningkat sedangkan taraf hidup semakin tinggi. Hal ini menyebabkan ramai penganggur mengambil
jalan mudah dengan menjadikan ragut sebagai batu loncatan bagi memenuhi
keperluan hidup. Di samping itu, tujuan
sesetengah peragut melakukan kegiatan ragut ialah kerana mereka ketagihan
dadah. Manakala sebahagian remaja cuba
meragut dengan sebab ingin mencari keseronokan atau dipengaruhi oleh rakan
sebaya.
Kesan
daripada kejadian jenayah ragut ini telah menjejaskan ketenteraman
masyarakat. Orang ramai sentiasa hidup
dalam ketakutan dan kebimbangan diri sendiri menjadi mangsa yang
seterusnya. Bagi mangsa yang diragut,
mereka akan menanggung kesengsaraan akibat kerugian harta benda, kecederaan
fizikal dan masalah kesihatan di samping mengalami trauma akibat gangguan
mental dan emosi seperti rasa takut, tekanan perasaan dan rasa rendah diri. Bagi peragut, mereka akan terus berleluasa
dalam melakukan jenayah tersebut.
Tambahan
pula, jenayah ragut akan menjejaskan imej dan ekonomi negara. Pelancong asing berasa tidak selamat untuk
mengunjungi negara kita akibat peningkatan jumlah mangsa yang terbunuh,
tercedera dan trauma. Kesannya, pertumbuhan
industri pelancongan mengalami kemerosotan dalam sektor perhotelan, perniagaan
dan lain-lain lalu meningkatkan kadar pengangguran masyarakat.
Dalam
usaha mengatasi jenayah ragut, penguatkuasaan
undang-undang dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak
berkenaan. Sesiapa yang didapati
terlibat dalam jenayah ragut akan didakwa di bawah kesalahan merompak mengikut
Seksyen 390 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan
denda atau kedua-duanya. Sekiranya
melibatkan kematian, mereka akan disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan
kerana membunuh dan sekiranya bersalah akan dihukum mati. Selain itu , pihak polis juga perlu sentiasa
membuat rondaan di tempat-tempat yang kerap kali berlakunya jenayah ragut. Polis
boleh menugaskan lebih ramai anggota yang tidak beruniform bagi memantau
kawasan berisiko terutamanya di kompleks membeli-belah.
Sebenarnya,
peranan ibu bapa sangat penting dalam membendung jenayah ragut ini. Ibu bapa hendaklah sentiasa memberikan
perhatian yang lebih kepada anak-anak dan berkomunikasi dengan mereka untuk
memahami pemikiran dan perasaan mereka yang sebenar. Pendidikan agama dan nilai-nilai murni
mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara baik dan
buruk. Selain itu, ibu bapa haruslah
meluangkan masa untuk menemani anak-anak supaya mereka tidak kebosanan dan
dapat mengesan masalah mereka dalam masa yang singkat. Kesedaran moral juga perlu diterapkan untuk
membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang supaya mereka dapat
mengecapi kecemerlangan diri .
Kesimpulannya,
semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa
perlu menuding jari mencari kesalahan pula. Sementara itu pihak kerajaan harus mencari
alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk
memastikan jenayah ini tidak merebak. Kegagalan
mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia. Mungkin peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah”
memberikan kita satu pandangan supaya bersiap sedia sebelum masalah itu
berlaku.
No comments:
Post a Comment