Thursday, 10 December 2015

PERBAHASAN DI MAHKAMAH


            Pada 08 Disember 2015, Choi Yue Yue telah didakwa mencuri lembu di Kampung Berkat.  Kebetulan pada jam 11.50 malam waktu kejadian, Minah Robe yang baru pulang dari bandar melalui di kawasan pokok di mana lembu tersebut ditambat. Dalam waktu yang sama, Minah Robe terserempak dengan Choi Yue Yue di tempat kejadian. Choi Yue Yue telah dituduh mencuri lembu tersebut.

Di Mahkamah ..

            Choi Yue Yue diwakili oleh peguam belanya memberi keterangan kepada ahli dewan bahawa dia tidak mencuri lembu tersebut. Hal ini kerana pada waktu kejadian, Choi Yue Yue yang baru pulang dari kedai untuk membeli barang dapur turut melalui jalan yang sama untuk pulang ke rumah iaitu jalan yang berhampiran dengan pokok yang menambat lembu tersebut. Pada malam kejadian, Choi terdengar bunyi yang agak pelik datangnya dari arah pokok tersebut. Maka Choi membuat keputusan untuk memeriksa dan pergi melihat apa sebenarnya yang terjadi.

            Pada ketika itu juga, Minah Robe ternampak Choi dan dia telah memberitahu orang kampung tentang kejadian itu. Oleh sebab itu, Choi telah dituduh sebagai suspek yang mencuri lembu tersebut memandangkan sebelum hari kejadian, telah berlaku kecurian haiwan ternakan milik Minah Robe. Maka itu, penduduk kampung percaya bahawa Choi yang mencuri lembu dan haiwan ternakan tersebut. Pihak pendakwa raya yang mewakili Minah Robe menegaskan isi yang dikemukakan oleh Minah Robe tetapi dibangkang oleh peguam bela Choi. Berlaku ketegangan semasa perbicaraan sedang dijalankan di mahkamah bagi mempertahankan anak buah masing-masing.

            Peguam bela yang mewakili Choi tetap bertegas dan mempertahankan anak buahnya iaitu Choi. Siasatan dijalankan dalam masa 3 hari untuk mencari bukti yang kukuh untuk mempertahankan Choi bahawa Choi tidak bersalah dalam kejadian ini. Apabila siasatan dijalankan, Pegawai Penyiasatan telah menjumpai bahan bukti bahawa kesan cap jari pada tali penambat lembu tersebut bukanlah cap jari kepunyaan Choi. Bukti yang paling kukuh adalah pertemuan sehelai bulu kaki di tempat kejadian yang juga bukan kepunyaan Choi. Akhirnya, Hakim Mahkamah membuat keputusan dan menegaskan bahawa Choi dan Peguam belanya memenangi kes ini.

Perbicaraan selesai....


Monday, 7 December 2015

REJAB F.I-LAKONAN SEMULA


Rejab F.I  dilahirkan di Kg.Bongok, Padang Lati, Perlis pada 12 September 1941. Beliau merupakan seorang karyawan negara dan telah menghasilkan 45 buah novel dan 90 cerita rakyat, 433 puisi dan 184 buah cerpen.

SCENE 1

Mengikut ceita emak saudara beliau sewaktu Jepun datang ke Malaya, mereka sekeluarga dan penduduk kampung disarankan untuk berlindung di dalam gua tetapi dihalang oleh Tuan Haji Salleh.
  •  Latar Tempat- Di kampung, di dalam gua

SCENE 2

Selepas tamat sekolah darjah 7, Rejab F.I diterima bekerja sebagai seorang guru.
  • Latar Tempat- Bendang

SCENE 3

Rejab F.I dituduh menggunakan harta awam iaitu mesin taip untuk kepentingan diri sendiri. Rejab berasa sedih dituduh sebegitu tetapi Cikgu Ali Haji Ahmad datang ke rumah Rejab dan memujuknya agar menggunakan mesin taip itu dan menghiraukan hinaan orang lain.
  • Latar Tempat-  Di sekolah, rumah Rejab

SCENE 4

Rejab pergi ke kedai buku Indra Store dan dia terserempak dengan rakannya. Rakannya bercerita tentang kisah sebuah keluarga yang baru sahaja kematian bapa tetapi si anak sibuk bertengkar mengenai pembahagian harta dan dari situlah permulaan bagi Rejab untuk berkarya ke arah yang lebih tinggi iaitu novel kerana mendapat ilham daripada kisah tersebut.
  • Latar Tempat- Kedai Buku Indra Store

Friday, 4 December 2015

MASALAH SOSIAL-JENAYAH RAGUT

RANGKA KARANGAN
Pengenalan:
Menurut kamus dewan, jenayah ialah perbuatan kejahatan seperti mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain atau perbuatan yang salah di sisi undang-undang.  Ragut pula bererti menarik, menyentak, mencabut dengan paksa atau dengan kekuatan.  Dapatlah disimpulkan di sini bahawa jenayah ragut merupakan perbuatan menarik, menyentak atau mencabut yang mana berkait rapat dengan tas tangan.  Jenayah ragut ini sering kali dikaitkan dengan golongan remaja dan juga penagih dadah.  Jenayah ini semakin berleluasa dan paling menakutkan jenayah ini telah meragut puluhan nyawa.  

Punca:
1)      Pengaruh media massa
2)      Kemerosotan ekonomi

Kesan:
1)   Keselamatam masyarakat terancam
2)   Imej dan ekonomi negara terjejas

Langkah:
1)      Penguatkuasaan undang-undang
2)      Peranan ibu bapa

Kesimpulan:
Jenayah ragut dalam kalangan remaja perlu diatasi dengan segera agar kemajuan negara dapat dicapai.  Pelbagai dasar dan model ekonomi yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan untuk membangunkan negara.  Bukan itu sahaja, pembentukan modal insan kelas pertama juga telah ditekankan agar bukan sahaja kemajuan negara sahaja yang diperoleh bahkan kemajuan modal insan juga dapat dikecapi.  Kita tidak mahu akibat jenayah ragut ini,  pembangunan negara dan pembangunan modal insan terbantut.  Hal ini demikian kerana remajalah yang akan memimpin dan membentuk negara pada masa akan datang.

JENAYAH RAGUT


            Hari ini, masyarakat kita telah dikejutkan dengan pelbagai kes jenayah seperti ragut.  Ragut merujuk kepada tindakan jenayah seseorang merampas harta benda orang lain dengan cara paksa atau kekuatan yang dimiliki.  Tindakan ini menyebabkan mangsa ragut kehilangan sesuatu secara paksa.  Kejadian ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian malah boleh mendatangkan kesan kecederaan mahupun maut kepada mangsa.  Menurut kajian, ramai pelancong asing yang menjadi mangsa kepada jenayah ragut ini.  Malahan, terdapat sebuah kes dimana ibu sedang mengandung terbunuh dalam kejadian ragut, ada yang cedera parah semasa kes ragut, ada juga mangsa yang dicalar kerana ditoreh dengan pisau yang tajam ketika melawan peragut dan sebagainya.  Kebanyakan kes jenayah ini berlaku terhadap golongan wanita yang dilakukan oleh peragut lelaki.  Antara barang-barang yang sering menjadi pilihan peragut adalah beg tangan, barang kemas dan telefon bimbit.

            Jika mengkaji punca jenayah dengan lebih teliti, didapati terdapat banyak punca yang mengakibatkan berlakunya kes-kes jenayah ragut.  Memang tidak dinafikan, media massa merupakan salah satu punca kegiatan jenayah ragut.  Kemudahan seperti internet, e-mail, televisyen dan radio boleh disalahgunakan oleh masyarakat untuk mendapatkan video tentang cara-cara meragut dan sebagainya.  Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dalam mempengaruhi pemikiran dan tindakan remaja.  Paparan aksi-aksi negatif dari filem-filem yang mempunyai unsur-unsur ke arah melakukan kegiatan ragut akan mempengaruhi remaja melakukan kegiatan ragut.  Menurut kajian, golongan remaja adalah mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuklah media massa.

           Selain itu, keadaan ekonomi yang semakin merosot juga menyumbang kepada kejadian jenayah kes ragut.  Kegawatan ekonomi menyebabkan ramai orang kehilangan peluang pekerjaan dan seterusnya menyebabkan kadar pengangguran semakin meningkat sedangkan taraf hidup semakin tinggi.  Hal ini menyebabkan ramai penganggur mengambil jalan mudah dengan menjadikan ragut sebagai batu loncatan bagi memenuhi keperluan hidup.  Di samping itu, tujuan sesetengah peragut melakukan kegiatan ragut ialah kerana mereka ketagihan dadah.  Manakala sebahagian remaja cuba meragut dengan sebab ingin mencari keseronokan atau dipengaruhi oleh rakan sebaya.

            Kesan daripada kejadian jenayah ragut ini telah menjejaskan ketenteraman masyarakat.  Orang ramai sentiasa hidup dalam ketakutan dan kebimbangan diri sendiri menjadi mangsa yang seterusnya.  Bagi mangsa yang diragut, mereka akan menanggung kesengsaraan akibat kerugian harta benda, kecederaan fizikal dan masalah kesihatan di samping mengalami trauma akibat gangguan mental dan emosi seperti rasa takut, tekanan perasaan dan rasa rendah diri.  Bagi peragut, mereka akan terus berleluasa dalam melakukan jenayah tersebut. 

            Tambahan pula, jenayah ragut akan menjejaskan imej dan ekonomi negara.  Pelancong asing berasa tidak selamat untuk mengunjungi negara kita akibat peningkatan jumlah mangsa yang terbunuh, tercedera dan trauma.  Kesannya, pertumbuhan industri pelancongan mengalami kemerosotan dalam sektor perhotelan, perniagaan dan lain-lain lalu meningkatkan kadar pengangguran masyarakat.

            Dalam usaha mengatasi jenayah ragut, penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan.  Sesiapa yang didapati terlibat dalam jenayah ragut akan didakwa di bawah kesalahan merompak mengikut Seksyen 390 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau kedua-duanya.  Sekiranya melibatkan kematian, mereka akan disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh dan sekiranya bersalah akan dihukum mati.  Selain itu , pihak polis juga perlu sentiasa membuat rondaan di tempat-tempat yang kerap kali berlakunya jenayah ragut.  Polis boleh menugaskan lebih ramai anggota yang tidak beruniform bagi memantau kawasan berisiko terutamanya di kompleks membeli-belah.

            Sebenarnya, peranan ibu bapa sangat penting dalam membendung jenayah ragut ini.  Ibu bapa hendaklah sentiasa memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak dan berkomunikasi dengan mereka untuk memahami pemikiran dan perasaan mereka yang sebenar.  Pendidikan agama dan nilai-nilai murni mestilah diterapkan supaya anak-anak dapat menilai antara perkara baik dan buruk.  Selain itu, ibu bapa haruslah meluangkan masa untuk menemani anak-anak supaya mereka tidak kebosanan dan dapat mengesan masalah mereka dalam masa yang singkat.  Kesedaran moral juga perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang supaya mereka dapat mengecapi kecemerlangan diri .

            Kesimpulannya, semua pihak harus berganding bahu untuk menyelesaikan masalah jenayah ini tanpa perlu menuding jari mencari kesalahan pula.  Sementara itu pihak kerajaan harus mencari alternatif untuk menangani isu pembuangan kerja ketika kegawatan ekonomi untuk memastikan jenayah ini tidak merebak.  Kegagalan mengawal jenayah ini mampu menjejaskan imej negara pada mata masyarakat dunia.  Mungkin peribahasa ”sudah terantuk baru tengadah” memberikan kita satu pandangan supaya bersiap sedia sebelum masalah itu berlaku.

PUNCA DAN LANGKAH MEGATASI BENCANA ALAM

RANGKA KARANGAN
Pengenalan:
Dewasa ini, manusia dilihat kurang peka dengan masalah alam sehingga mengakibatkan bencana alam. Kebanyakan bencana alam yang berlaku berpunca daripada sikap manusia itu sendiri. Antara bencana alam yang mampu memberi impak yang besar iaitu seperti ribut taufan, tsunami, tanah runtuh, jerebu dan sebagainya. Oleh itu, semua pihak tidak seharusnya memandang remeh tentang masalah bencana alam ini. Persoalannya, apakah punca-punca dan langkah-langkah yang wajar diambil?

Punca:
1) Kegagalan manusia membuat perancangan
- penyelenggaraan sungai dan pembalakan yang tidak praktikal
- kelambatan manusia untuk memberi pengumuman kepada masyarakat mengenai bencana alam
2) Ketamakan manusia
- sifat manusia yang terlampau materialistik

Langkah:
1) Peranan kerajaan
- menubuhkan sistem amaran awal bencana alam
2) Kesedaran masyarakat
3) Peranan Badan-badan Bukan Kerajaan
- kerjasama dengan kerajaan
- melatih masyarakat untuk menghadapi bencana alam

Kesimpulan:
Semua pihak haruslah berganding bahu ibarat peribahasa melayu “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat” untuk bersama-sama mengatasi masalah bencana alam demi kebaikan bersama.

PUNCA DAN LANGKAH MEGATASI BENCANA ALAM


            Bencana alam merujuk kepada kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan penduduknya.  Ia tidak dapat dielakkan oleh manusia kerana kejadian itu berlaku di luar kawalan manusia.  Bencana alam boleh berlaku tanpa mengira masa dan tempat.  Di Malaysia, bencana alam jarang berlaku berbanding dengan negara yang sering berlaku bencana alam.  Bencana alam yang sering berlaku di negara kita adalah banjir, gempa bumi dan tanah runtuh.  Dalam sejarah Malaysia, terdapat beberapa peristiwa bencana alam yang mendapat liputan meluas seperti Tragedi Highland Tower pada tahun 1993, Tragedi Ribut Greg di Sabah pada tahun 1996, kejadian tanah runtuh di Gombak pada tahun 2004 dan lain-lain.  Pelbagai faktor yang mendorong bencana alam berlaku terutama ketiak bumi yang dikatakan sedang mengalami perubahan cuaca yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini.  Sesungguhnya, terdapat banyak faktor yang mendorong kejadian ini dan banyak langkah yang boleh diambil untuk membendungnya daripada terus berlaku.

            Antara faktor berlakunya bencana alam adalah kegagalan manusia dalam membuat perancangan yang sempurna.  Sikap manusia dalam menguruskan sumber alam secara rakus tanpa kawalan, penyelenggaraan sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal telah mengundang padah.  Manusia gagal membuat perancangan seperti memberitahu masyarakat lebih awal, membuat latihan untuk menghadapi bencana mahupun tidak mempunyai piawaian pembinaan bangunan yang baik.  Aktiviti penyahutanan dan pembalakan secara tidak terancang akan menyebabkan lebihan karbon dioksida dalam udara di samping kehilangan kawasan tadahan air dan senang berlakunya banjir.  Selain itu, aktiviti pembakaran terbuka di kawasan pelupusan sampah dan pembakaran hutan juga menyumbang kepada peningkatan karbon dioksida.  Penambahan kelodak akan mencetekkan dasar sungai dan aliran akan tersekat serta menyebabkan kejadian banjir kilat terutama di kawasan rendah.

            Seterusnya, sifat ketamakan manusia juga menyumbang kepada berlakunya bencana alam.  Pihak yang terbabit dalam penebangan hutan selalunya hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan impaknya terhadap persekitaran ekologi.  Kawasan hutan yang telah ditebang tidak digantikan dengan anak pokok yang baharu, menyebabkan terdedah kepada hujan lalu hakisan tanah berlaku.  Keadaan ini menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda.  Selain itu, tempat yang dahulunya tidak sesuai untuk dibangunkan, umpamanya di kawasan lereng bukit dan dataran banjir, kini dibangunkan untuk kawasan perumahan.  Perbandaran pula menyebabkan kawasan baru dibangunkan.  Perbukitan dipotong dan diratakan serta membentuk cerun buatan yang curam dan kurang stabil.  Kawasan bekas lombong, pesisiran sungai dan lautan ditambak untuk penempatan baru.  Semua kawasan ini terdedah dengan risiko banjir dan tsunami.

            Dalam pada itu, langkah yang drastik dan pragmatik perlulah diambil untuk mengurangkan risiko kejadian bencana alam.  Rentetan itu, peranan kerajaan adalah sangat penting dalam menangani isu tersebut.  Pihak kerajaan perlulah menubuhkan sistem amaran awal yang berkesan dan berteknologi tinggi supaya mereka dapat meramalkan jenis bencana alam, kawasan-kawasan yang berisiko tinggi untuk ditimpa bencana alam serta waktu bencana alam untuk berlaku.  Dengan ini, pihak kerajaan dapat membuat persiapan awal dalam menghadapi bencana alam seperti menyediakan tempat tinggal sementara bagi rakyat, bak kata pepatah, “sediakan payung sebelum hujan”.  Di samping itu, pihak kerajaan hendaklah menghebah-hebahkan maklumat mengenai bencana alam yang akan ditimpa kepada masyarakat melalui media massa sama ada elektronik atau bercetak.  Misalnya, wadah media massa yang popular dalam kalangan rakyat seperti televisyen dan radio dapat menyampaikan mesej dengan segera tentang bencana alam yang akan melanda negara kita dalam sekelip mata.  Hal ini demikian kerana, masyarakat akan lebih berwaspada dan bersedia untuk menghadapi bencana alam serta-merta.

            Selain itu, kesedaran masyarakat juga perlu dikuatkan supaya mereka tidak mengalami kelam-kabut semasa kejadian bencana.  Program-program kesedaran dan taklimat harus diadakan dalam meningkatkan ketahanan sekolah dan hospital dalam menangani bencana.  Para pelajar harus didedahkan cara-cara menghadapi bencana alam sejak di bangku sekolah lagi kerana “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.  Pendidikan awam perlu dilakukan secara berterusan, pengetahuan mengenai bencana perlu diterapkan dalam sistem pendidikan formal di sekolah dan universiti, dan pendidikan tidak formal melalui pelbagai cara, terutama bagi kawasan yang dikenal pasti berisiko bencana.  Salah satu cara paling berkesan ialah menyediakan pusat maklumat, galeri atau muzium khas di kawasan yang pernah mengalami bencana besar, dan ini akan terus mengingatkan komuniti serta pengunjung di kawasan terbabit bahawa bencana pernah berlaku, dan boleh berlaku lagi pada masa depan.

            Di samping itu, peranan badan-badan bukan kerajaan juga tidak dapat diabaikan.  Agensi-agensi swasta haruslah aktif menawarkan program pencegahan dan panduan bagi menghadapi bencana alam yang tidak sahaja berkisar tentang banjir malah tanah runtuh, gempa bumi, kebakaran dan alam sekitar kepada komuniti.  Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan ini haruslah menjadi penggerak pihak kerajaan dalam menerapkan kesedaran menangani kejadian bencana dan bersama-sama membendung kegiatan manusia yang membawa kesan teruk terhadap alam sekitar.

            Kesimpulannya, bencana alam memberi satu mimpi dan pengalaman yang buruk sama ada kepada rakyat mahupun kepada institusi negara itu sendiri sehingga pihak kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat ke atas negara.  Bencana alam kadangkala datang tanpa diundang dan untuk itu kita perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk perubahan yang boleh membawa kepada kemusnahan petempatan, kehilangan nyawa dan sebagainya.  Walau bagaimanapun, kejadian bencana alam juga sebenarnya turut berpunca daripada kegiatan manusia itu sendiri.  Oleh itu, kita sendiri sebagai manusia perlulah mengubah sikap yang boleh menyebabkan berlakunya bencana alam.  Segala bentuk langkah berjaga-jaga perlulah diambil dan dilaksanakan dengan lebih awal sebelum kedatangan bencana agar kita dapat mengelakkan kesan yang lebih buruk lagi.

ISU SEMASA-DEMAM DENGGI

RANGKA KARANGAN
Pengenalan:
Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti.  Terdapat empat jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi (DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4).  Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja, jika individu tinggal di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh di jangkiti lebih dari sekali seumur hidupnya. 

Tanda-tanda deman denggi:
-          Deman kuat secara mengejut dan berterusan;
-          ruam merah pada kulit; sakit teruk pada tulang, otot, sendir, biji mata dan kepala;
-          hilang selera makan;
-          sakit perut;
-          muntah-muntah;
-          pendarahan pada badan, hidung dan mulut

Langkah-langkah mencegah deman denggi:
-          Memusnahkan tempat pembaikan nyamuk 
-          Melindungi diri daripada gigitan nyamuk 
-          Melindungi diri daripada gigitan nyamuk 
-          Menghapuskan nyamuk dewasa

Kesimpulan:
Usaha untuk mencegah demam denggi tidak harus diletakkan pada bahu pihak berkuasa sahaja.  Semua anggota masyarakat hendaklah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani masalah ini.

DEMAN DENGGI


            Demam denggi ialah sejenis penyakit jangkitan virus bawaan nyamuk Aedes betina iaitu nyamuk Aedes Aegypti yang telah dijangkiti dan boleh membawa maut.  Deman denggi kini menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini.  Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah.  Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini.  Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya.  Kerap didapati, demam denggi berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya.  Terdapat empat jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi iaitu DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4.  Jangkitan oleh salah satu jenis virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja, jika individu mendiami di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh dijangkiti lebih dari sekali dalam seumur hidupnya.

            Terdapat pelbagai tanda seseorang telah digigit oleh nyamuk Aedes seperti demam secara mengejut, ruam dan gatal-ratal, cirit birit, merasa loya, sakit kepala, sakit bahagian belakang biji mata, sakit perut, sakit otot dan sendi serta mengalami sakit pinggang yang teruk.  Sekiranya seseorang itu didapati menghidap penyakit demam denggi, rawatan utama adalah mengelakkan pesakit tersebut minum air.  Pesakit juga hendaklah dihantar ke hospital dengan segera untuk mendapatkan rawatan lanjut.

            Antara langkah untuk mencegah demam denggi ialah memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.  Barang buangan seperti tayar buruk, tin kosong, tempurung kelapa dan bekas plastik yang menjadi tempat pembiakan nyamuk hendaklah dimusnahkan.  Pasu bunga, bekas air dan sebarang bekas yang boleh menakung air perlu dibubuh ubat jentik-jentik, ditutup rapat dan ditukar airnya dengan kerapnya.  Pemeriksaan saluran air hujan hendaklah dibuat setiap minggu dan buang daun-daun kayu atau sampah sarap lain yang boleh menyekat aliran air.

            Selain itu, kita hendaklah melindungi diri daripada gigitan nyamuk.  Nyamuk biasanya keluar pada awal pagi atau lewat petang.  Oleh itu, pakailah pakaian yang menutupi kebanyakan bahagian tubuh apabila berada di luar rumah pada waktu tersebut dan mengelak dari bertandang ke kawasan berisiko (kawasan bandar) di siang hari.  Selain itu, kita boleh menyapukan krim penghindar nyamuk pada bahagian tubuh yang terdedah.

            Di samping itu, kita boleh memasang jaring nyamuk pada tingkap rumah.  Jaring halus ini dapat menghalang nyamuk daripada memasuki rumah.  Di dalam rumah pula, gunakan ubat lingkaran nyamuk untuk mengelak daripada digigit nyamuk pada waktu malam.  Seterusnya, kita hendaklah menghapuskan nyamuk dewasa.  Kita boleh menggunakan penyembur nyamuk bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah.  Di luar rumah pula, pihak berkuasa hendaklah mengadakan semburan kabus untuk membunuh nyamuk sekiranya berlaku kes denggi.

            Akhir kata, usaha untuk mencegah demam denggi tidak harus diletakkan pada bahu pihak berkuasa sahaja.  Semua anggota masyarakat hendaklah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani masalah ini.  Amalan gaya hidup bersih dan sihat mestilah dipratikkan dalam kehidupan seharian supaya kes penyakit berbahaya ini dapat dikurangkan ke tahap minimum.  Kita hendaklah sentiasa beringat dan berwaspada dengan kebersihan persekitaran dan kediaman kita agar tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. 



RENCANA-MELAKA

            Negeri Melaka juga dikenali sebagai Melaka Negeri Bersejarah, Melaka Darul Azim atau Negeri Hang Tuah.  Pada tahun 2008, Melaka diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Bandar Warisan Dunia (World Heritage).  Negeri Melaka juga diisytiharkan sebagai “Melaka Maju” dan dinyatakan sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau.  Bandar-bandar utama di negeri Melaka ialah Bandaraya Melaka, Alor Gajah, Masjid Tanah, Jasin, Merlimau, Tampin/Pulau Sebang, Ayer Keroh dan Asahan.  Sejarah Melaka bermula dengan pengasasan Kesultanan Melaka oleh Parameswara, seorang bangsawan Srivijaya dari Palembang, pada tahun antara 1400 hingga 1403.   Kini Melaka merupakan sebuah tempat bersejarah yang mempunyai banyak tempat menarik dan menjadi tempat pelancongan di Malaysia.

            Kebudayaan Melaka bermula lebih daripada enam kurun dimana pelbagai adat etnik dan tradisi diadun sempurna.  Kehidupan aman rakyat Melaka berpunca daripada kehidupan pelbagai kaum yang telah melahirkan orang-orang Melayu, Cina, India, Baba dan Nyonya, Portugis, Chetty, Bawean dan Serani.  Setiap kumpulan etnik ini memberi citarasa yang berbeza rakyat Melaka yang terkenal sebagai rakyat yang peramah.  Antara kebudayaan Melaka yang unik adalah Dondang Sayang, Tarian Portugis, Nazam, Silat Melaka dan Congkak.  Sehingga hari kini, kebanyakan adat-adat kuno yang berasal daripada pendudukan Portugis masih diamalkan, termasuknya "Intrudu" (sejenis perayaan air yang menandakan permulaan musim Lent, iaith musim puasa bagi orang Katolik), "branyu" (sejenis tarian tradisional) dan "santa cruz" (sejenis perayaan jalan tahunan).

            Melaka terkenal dengan masakan tradisional seperti makanan Melayu, Hidangan Cina, India, Baba dan Nyonya serta Portugis yang menjadi kebanggaan negeri ini.  Masakan Nyonya yang terkenal ialah otak-otak, sup itik, laksa lemak, jantung pisang, mi siam dan nasi kunyit.  Masakan Portugis yang popular ialah Devil's Curry, Garing-garing dan Ikan Bakar Portugis.  Seterusnya, masakan Melayu terkenal dengan nasi lemak iaitu sajian untuk sarapan pagi.  Masakan Melayu lain yang popular adalah seperti asam pedas, rendang, nasi padang dan nasi goreng.

            Selain itu, masakan Cina yang digemari ialah Char Kway Teow, Mi Wantan, Mi Udang dan Dim Sum.  Manakala, masakan India mempunyai pelbagai jenis roti yang diperbuat daripada tepung gandum seperti thosai, chapati, naan, roti cana dan idli.  Masyarakat India-Muslim terkenal dengan Nasi Briyani dan Mee Goreng.  Hidangan lain termasuk kurma, ayam tandoori dan kari kepala ikan.  Tambahan pula, makanan popular yang lain di Melaka adalah seperti Cencaluk, Belacan, Dodol dan Tapai.

            Di antara tempat-tempat yang menarik pelancong di Melaka adalah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Melaka Zoo & Night Safari, Kota A Farmosa, Taman Buaya Melaka, Villa Sentosa, Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Taman Mini Asean & Taman Mini Malaysia, Taman Rama-rama & Reptilia, Taman Botanikal Melaka, Tasik Ayer Keroh dan lain- lain.  Manakala, tempat membeli-belah di Melaka adalah Persiaran Jonker, Mydin & Giant Hypermarket, Jusco & Tesco, Mahkota Parade dan Melaka Sentral.

            Penginapan di Melaka dibahagi kepada Hotel bertaraf satu bintang hingga lima bintang, Resort, Chalet dan Homestay.  Antara tempat penginapan yang popular di Melaka adalah Case del Rio Melaka, The Majestic Malacca, The Settlement Hotel, Hatten Hotel Melaka, Bayou Lagoon Park Resort, Jonker Boutique Hotel, Philea Resort & Spa, Teerra Nova All-Suite Hotel, Marvelux Hotel, A’ Famosa Resort dan sebagainya.   

            Melaka merupakan tempat bersejarah dimananya telah dijajah oleh banyak negara asing seperti Portugis, Belanda, British.  Ia juga merupakan tempat pelancongan yang terkenal dan menarik di Malaysia kerana kebudayaan masyarakat yang unik dan pelbagai serta warisan tradisi yang masih dikekalkan dari dulu hingga kini.  Tempat ini seharusnya dihargai dan dihayati oleh kita sambil mewarisi adat istiadatnya secara turun-temurun.





SAJAK-AYAH


Ayahku, sudah tertidur di dalam tanah perkuburan,
Saudara-maramu pergi satu demi satu,
Bunyi upacara semakin lemah dan melenyap,
Tetapi ayah masih terbaring atas tanah kubur.

Badannya diliputi tanah,
Kertas wang melompat dalam api yang membarak,
Bunga api seolah-olah meraung di langit,
Air mata menitis dua baris di pipi saya.

Ayahku suka pertanian,
Dia tahu cara penanaman, merumput dan menuai,
Subur atau layu tanaman tersebut,
Ayah jelas daripada sesiapapun.

Ayahku sudah tertidur di dalam tanah perkuburan,
Badannya diliputi tanah,
Kakinya dan bawah tanah berasap,
Ayah dan tanah terdiam di situ.

Pada tahun depan, badan ayah akan diliputi rumput-rumpai,
Mungkin pada waktu itu,
Kesakitan dan perasaan ayah,
Tiada siapa yang lagi jelas daripada rumput-rumpai.





Thursday, 3 December 2015

CERPEN-MASA AKAN MENGUBAH SEGALA-GALANYA


            Dari masa ke masa, lama-kelamaan kita akan dapati bahawa tiada siapa yang tidak berubah-ubah.  Dari masa ke masa, kita akan dapati bahawa sifat kesucian dan naif yang kita kekalkan selama ini akan hilang sedikit demi sedikit, atau berkemungkinan melenyap.  Dari masa ke masa kita akan dapati, dalam sepanjang hidup ini, tiada siapa yang mampu menemani kita melalui segala duka cita sampai ke akhir hayat melain diri sendiri.  Sama ada hubungan persahabatan ataupun hubungan percintaan, dulu kita pernah berkata bahawa dalam kehidupan ini kita mesti bersama sampai ke saat akhir dan tidak akan meninggalkan sesama lain, tetapi semakin lama semakin jelas, bahawa harapan untuk bersama seumur hidup ini hanyalah suatu impian sahaja, satu hayat ini adalah begitu panjang sehingga kita tidak dapat ketahui siapa yang akan menemani di sisi kita pada saat-saat yang terakhir.

            Dulu, saya pernah bersumpah dengan kawan rapat saya dengan berkata, “ Melainkan saya mati, kalau tidak saya akan bersama dengan kamu sepanjang hidup ini dan pastinya tidak akan berpisah dengan kamu; kita mesti menjadi kawan yang baik selama-lamanya; kita akan bekerja bersama-sama di kelak; tinggal bersama-sama; teman lelaki kita mestilah kawan yang rapat supaya kita tidak akan dipisahkan; saya ingin menjadi mak angkat kepada anak kamu dan menjadi saudara-mara dengan kamu melalui perkahwinan anak kita”. 

            Apa yang dalam fikiran kita semasa kecil lagi adalah begitu naif dan indah, kita melihat sesuatu dengan mudah dan tidak mempunyai apa-apa motif dan pemikiran yang rumit.  Kita hanya memeluk fantasi yang begitu indah sekali, berusaha keras demi suatu impian yang dikongsi bersama.  Tetapi kini, saya bekerja seorang diri di bandar yang lain, di sisiku dikelilingi kawan-kawan yang baru, kawan rapat saya sedang menuntut pembelajaran di universiti, di sekitarnya tidak lagi ditemani oleh saya, dia berkata dia akan merealisasikan impian kita bersama di kelak.  Saya beriri hati dengan kesucian dan kenaifan dia tentang semua perkara yang dianggap baik dalam pandangannya. 

            Berikutan dengan perubahan masa, persekitaran dan orang di sekeliling kita, saya tidak lagi memeluk harapan yang mudah dan indah.  Saya yang sedang bekerja sekarang ini, tidak lagi berfikir tentang jenis rumah apa yang akan saya diami pada masa depan, bagaimana bergaul dengan kawan-kawan saya, pelihara apa jenis haiwan, pernah mengunjungi ke tempat mana yang menarik dan melihat pendangan yang bagaimana indahnya.  Lama-kelamaan, realiti telah menghancurkan segala keindahan yang diimpikan.  Saya mulai merancang demi masa depan saya, tempat tinggal dan barang keperluan yang digunakan, saya menjadi realistik secara perlahan-lahan, tidak lagi sombong, tidak lagi mentah.

            Pernah seseorang berkata, apabila kita melihat sesuatu dengan rumit dan berfikir terlalu banyak, kita akan hidup dengan keletihan.  Baru-baru ini, kawan rapat saya bertanya khabar terhadap saya atas talian tentang adakah saya dalam kesedihan?  Saya merenung komputer dengan masa yang lama dan berfikir adakah saya berasa sedih?  Setiap hari kecuali dengan pergi bekerja dan pulang dari kerja, menaik pengangkutan awam secara beransur-alik, kadang-kala tersenyum, kadang-kala dalam kebingungan, kadang-kala berfikir tentang masa hadapan, kehidupan yang terlalu tenang dan biasa ini pun tidak akan mengalami perkara yang menyedihkan, anggota keluarga saya semuanya dalam keadaan baik dan sihat, malah dengan kerjaya yang lancar, dilihat memang tiada perkara yang mampu membuatkan saya bersedih.  Tetapi saya tidak lagi seperti dalam zaman persekolahan, ketawa dan gembira macam kanak-kanak.

            Saya mengetuk papan kekunci komputer dengan perlahan-lahan, “ saya tidak bersedih, tetapi saya tidak gembira”.  Kemudiannya saya padamkan ayat tersebut dengan segera dan menghantar satu simbol gembira kepada dia sambil memberitahunya bahawa saya dalam keadaan yang baik.  Mungkin disebabkan oleh personaliti saya yang tidak mudah mengalah dan pentingkan air muka, saya tidak sudi untuk menunjukkan aspek kelemahan dan tidak berdaya saya kepada orang lain.  Saya sudah biasa dengan hidup berseorangan dan telah menganggap diri sendiri sebagai keseluruhan dunia.

            Dulu pernahnya saya beriri hati tentang babak lakonan yang sempurna dan romantik dalam drama idol, tetapi setelah mengalami sebuah percintaan yang menyakitkan, perasaan beriri hati itu telah lenyap semasa saya melihat drama tersebut lagi.  Apa gunanya untuk mendengki terhadap orang lain sedangkan diri sendiri sudah mengalami detik-detik indah seperti yang dilihat dalam drama idol.  Saya pastinya akan menangis dengan teresak-esak semasa melihat babak-babak yang menyedihkan dalam drama pada masa dahulu, tetapi kini melihat lagi jalan cerita yang sama, saya akan tumpang sedih tetapi air mata tidak lagi menitis.  Mungkin kerana di sisiku tiada seorang yang boleh melapkan air mataku, atau disebabkan air mataku telah menjadi berharga, ataupun setelah menjadi tabah dengan masa yang lama tidak akan menangis lagi. 

            Sementara mendengar sebuah lagu yang sedih, munculnya sebuah muka yang sukar dilupakan oleh saya dalam buah fikiran, dengan berkata bahawa kita akan bersama selama-lamanya.  Walaupun tiada kata-kata manis yang banyak, tetapi sebuah janji “saya akan bersama dengan mu” telah mengalahkan semua kata-kata manis yang ada.  Maka mungkin kerana tiada kata-kata yang manis dan janji sejati dalam percintaan ini, hubungan ini ditamatkan dengan senang dan menyakitkan hati benar-benarnya.

            Saya rasa saya tidak akan mulakan sebuah percintaan yang baru dengan sewenang-wenangnya, kerana setelah lama hidup secara tunggal, saya lebih rela untuk menanggung kesepian.  Saya selalu menjawab pertanyaan kawan tentang keadaan percintaan saya dengan menunggu calon yang lebih baik daripada yang dulu, tetapi sebenarnya hanya diri sendiri yang jelas, ini setakat alasan semata-mata untuk menghindari daripada sakit hati yang dialami.  Apabila seseorang disakitkan hati dengan teruk, dia tidak berani untuk mencuba lagi.  Mungkin saya takut akan mengalami perasaan kesakitan hati dan ditinggalkan sekali lagi, saya takut apabila saya mencurahkan hati sepenuhnya dalam sebuah percintaan tetapi sekali lagi hati dipecahkan menjadi kepingan, saya akan menutup hati saya, tidak sanggup bergaul dengan orang ramai dan akhirnya hidup berseorangan.

            Tiba-tibanya mendapati diri sendiri telah mengalami perubahan yang besar.  Walaupun masih menerima pandangan orang lain yang menyatakan diri saya seorang yang optimistik, tetapi hanya sendiri yang jelas bahawa sebenarnya saya tidak sebegitu gembira seperti apa yang dilihat mereka.  Saya seorang yang beremosi, sensitif dan mudah disinggung perasaan, tiada rasa selamat dan mudah sedih.  Saya tidak menitis air mata dengan mudah bukan kerana tiada air mata, tetapi terpaksa untuk mentabahkan hati.  Saya tidak dapat bayangkan kehidupan pada kelak, tidak dapat ketahui siapa kawan yang menemani saya sampai akhirnya, orang yang saya tercinta pada kelak, sama ada hubungan persahabatan atau hubungan percintaan, pada akhirnya hanya meninggalkan saya seorang sahaja.

Wednesday, 2 December 2015

WACANA 1

Cerita Ibu Dan Anaknya Bersama Dengan Anak Patung Gajah

            Pada suatu hari, ibu dan anaknya bernama Choi telah pergi ke pusat membeli-belah untuk membeli barangan dapur. Choi amat gembira kerana ibu membawanya  pergi ke pusat membeli-belah. Dalam fikiran Choi sudah terbayang mainan yang banyak dan ingin membelinya. Mainan yang diidamkan Choi adalah patung mainan anak gajah. Choi amat sukakan mainan yang berupa haiwan. Di rumahnya sudah banyak terkumpul permainan dan anak patung haiwan. Sementara ibunya sedang sibuk membeli barangan dapur, tiba-tiba Choi datang membawa patung mainan anak gajah. Choi meminta ibunya membeli mainan tersebut. Namun hajatya tidak kesampaian kerana mainan tersebut amat mahal. Ibu Choi telah memujuk Choi supaya tidak membeli mainan tersebut dan ingin mengajak Choi ke kedai makan sebagai pujukan. Adakah ibu Choi berjaya memujuk Choi? Dan adakah Choi berjaya membeli mainan tersebut? Sama-sama kita saksikan.


WACANA 2

Tema: Anekdot- Percintaan yang ditentang

            Penceritaan bermula dengan apabila robot yang bernama Abobo ingin mencari cinta sejatinya di bumi. Abobo merupakan makhluk asing yang berasal dari planet Sutun. Dia telah memilih bumi sebagai destinasi untuk mencari cinta hatinya. Abobo merupakan robot yang berperwatakan jahat dan suka memaksa. Dia merupakan anak kepada putera Aboi dan puteri Jula Joli. Dia telah berpendapat bahawa di bumi memiliki gadis-gadis yang cantik dan cukup menawan. Melalui teknologi terkini yang ada di kerajaan sutun, Abobo telah mengenal pasti gadis yang ingin dicintainya iaitu Minah Robe.

            Pada suatu hari, Abobo telah mengambil keputusan untuk pergi ke planet bumi. Di sana, dia telah mencari gadis tersebut iaitu Minah Robe. Minah merupakan seorang perempuan yang berperwatakan baik dan sangat cantik.  Hal ini telah membuatkan Abobo sangat jatuh hati dengan gadis tersebut. Abobo telah meluahkan cintanya kepada Minah namun tidak diterimanya. Abobo telah mencolek Minah Robe dan ingin membawanya ke planet Sutun. Namun Minah Robe mempunyai skandle bernama Ultramantol. Dia telah menjerit  dan meminta pertolongan daripada skandlenya itu.

            Dengan sepantas kilat yang bergema di kala hujan gerimis senja. Ultramantol telah datang untuk menyelamatkan Minah Robe. Ultramantol cuba menyelamatkan gadisnya itu daripada genggaman Aboboi. Satu pertempuran telah berlaku dan terjadinya aksi-aksi sengit antara Abobo dan Ultramantol. Ultramantol berjaya mengalahkan Abobo dengan sinaran B to B nya. Gadis yang bernama Minah Robe itu dapat diselamatkan oleh Ultramantol dan dibawa pulang ke bumi.